Pemuda Umno lidah penyambung bicara rakyat

NAMANYA saja sudah menimbulkan persoalan. Azimi Daim, 36, menegaskan beliau tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan nama itu membawa tuah kepadanya. Lulusan Sarjana Muda Komunikasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bukan saja menjadi antara Exco Pergerakan Pemuda Umno yang paling muda, bahkan ahli Majlis Tertinggi (MT) termuda.Beliau terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan ijazah sarjana di Universti Hartford, Amerika Syarikat, kerana minatnya terhadap politik.Bagaimanapun, beliau adalah antara Exco Pemuda yang teruk dikritik kerana tugasnya sebagai Ketua Penerangan Pemuda banyak dilaksanakan secara solo./Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, JAMHARIAH JAAFAR, dengan beliau mengenai mengapa kepemimpinan Pemuda Umno yang baru dipilih Mei lalu, tenggelam dan kelihatan kehilangan taring buat seketika, sebelum menyusun semula langkah untuk menebus kembali imej.

BH: Ramai sering tersalah anggap dengan nama saudara.

AZIMI: Itu secara kebetulan saja. Malah, ketika saya bertanding Exco Pemuda dulu pun, ada orang bertanya soalan yang sama. Saya telah membuat penjelasan bahawa saya bukan anak Tun Daim dan tidak ada kena mengena dengan beliau.

       Bersama ayah angkatnya di Mempaga 3

BH: Ada orang kata saudara menang kerana nama itu.

AZIMI: Itu tidak benar kerana ketika itu semua orang sudah tahu saya bukan anak Tun Daim... jadi tidak ada masalah di sana.

BH: Saudara adalah antara anggota Pemuda yang paling bernasib baik kerana mendapat semua jawatan Ketua Pemuda bahagian, Exco Pemuda, malah ahli Majlis Tertinggi (MT) tanpa perlu bekerja keras.

AZIMI: Ya, saya sendiri tidak sangka. Saya belajar daripada orang lama yang berkata kita sebenarnya kena merancang kerjaya politik, tetapi kebanyakan kita tahu di penghujungnya, kadangkala kita tidak dapat apa yang dirancang. Cuma kita berusaha untuk mencari ruang dan lebih penting buat kerja tanpa memberitahu orang bahawa kita hendak itu dan ini... itu adalah perangai saya.

Malah, sebelum mendapat jawatan Ketua Pemuda bahagian (Kulim Bandar Baru), saya betul-betul buat kerja dan tolong parti. Dalam hati memang tidak ada hasrat untuk jadi Ketua Pemuda bahagian dan tidak ada orang pun sebut saya akan jadi ketua, kerana ada orang lain sudah dicalonkan, tetapi saya mungkin bernasib baik, kawan-kawan naikkan saya jadi ketua. Samalah seperti sekarang, saya cuma ingin bertanding jawatan Exco Pemuda dan tidak sangka pula menang, dan menang pula dalam kedudukan yang baik. Juga tidak sangka dilantik jadi Ketua Penerangan dan jauh sekali daripada jangkaan saya untuk menjadi ahli MT.

Ketika dilantik ahli MT, saya sendiri terperanjat dan tertanya-tanya apakah kriteria serta sebab saya dilantik. Mungkin pemimpin ada sebab sendiri, tetapi yang penting dalam politik ini, kita buat kerja dan tidak perlu rancang sangat di mana kita hendak duduk dan kalau orang bagi kita peluang itu, ia satu perkara cukup baik.

 

 

BH: Apa perasaan saudara apabila kali pertama duduk dalam mesyuarat MT?

AZIMI: Saya berasa cukup kekok sebab jadi ahli termuda dan tidak mempunyai pengalaman. Dalam pada itu, ahli MT hampir semuanya adalah kalangan yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan dan kalau tidak ada kedudukan pun, mereka adalah orang yang cukup berpengalaman. Jadi di situ, sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai perasaan rendah diri, tidak cakap banyak dan tidak terlalu menonjolkan diri. Walaupun, bercakap itu tidak semestinya menonjolkan diri, tetapi saya rasa lebih baik pada permulaan saya cuma tengok dan belajar. Dari semasa ke semasa, saya mula mendapat keyakinan dan sekarang tidak lagi segan-segan untuk memberi pandangan. Kalau saya rasa nak cakap, saya akan cakap... jadi ada perubahanlah. Sekarang rasa bebas dan mula rasa seronok.

Saya hairan, dulu apabila ada orang, termasuk orang yang sudah terkeluar dari MT, mengatakan dalam mesyuarat MT ini tidak boleh bercakap, tetapi saya hendak cerita dan ingin menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya. Presiden sepanjang masa beri kita bercakap, tidak ada sekatan. Malah, apabila seseorang sedang memberi idea dan seorang lagi nak cuba ‘cross’, Presiden akan kata “you tunggu sat, bagi dia habis cakap.” Jadi, tidak ada sekatan.

Jika dulu sebagai ahli biasa pun, apabila orang bercakap mengenai perkara ini, kita akan berasa mungkinlah (benar dakwaan itu) sebab ada PM... jadi kita pun berasa takut. Tetapi, hakikatnya tidak demikian. Sebagai ahli baru, kita angkat tangan dan Presiden akan memberi peluang kita bercakap.

BH: Bagaimana suasana dalam mesyuarat?

AZIMI: Tengok keadaanlah. Ada ketikanya ceria, ada ketikanya serius, ada ketikanya panas sikit. Biasalah mesyuarat mana-mana pun sama juga, saya tidak rasa pelik. Saya tengok suasana cukup bebas. Ada beberapa ahli memang suka bercakap, kadang-kadang apa dia nak komen dan kalau dia nak tegur PM pun, dia tegur depan-depan. Tidak ada masalah, PM terima dan PM sendiri kelihatan lebih gembira kalau ada orang nak menegur dalam forum seperti ini. Beliau paling tidak suka kalau orang tegur atau nak bantai Umno atau bantai MT di luar mesyuarat... itu dia cukup marah. Malah, dalam mesyuarat terakhir (10 Februari lalu) pun, beliau suarakan perkara yang sama. Secara keseluruhannya, saya rasa seronok dan saya rasa kalau sesiapa juga diberi peluang yang sama, dia juga akan rasa seronok.

BH: Adakah patut lebih ramai golongan muda diberi peluang untuk duduk dalam MT?

AZIMI: Saya setuju, sebab kita harus tengok hari ini dari sudut pembangkang. Kita tengok kumpulan mereka ramai kalangan muda. Jadi, patut juga lebih ramai golongan muda dalam Umno diberi peluang lebih banyak.

Dengan cara itu, ia boleh menunjukkan kepada orang ramai bahawa Umno sudah sedia untuk melatih lebih ramai orang muda untuk mengambil alih. Kita kena ada satu perancangan jangka panjang bagi memastikan apabila kepemimpinan sedia ada ingin melepaskan jawatan, kita (golongan muda) sudah cukup kuat dan mahir untuk menerajui Umno.

Kadang-kadang kita tahu desakan dan rungutan banyak ditimbulkan orang muda. Jadi, mungkin dengan meletakkan lebih ramai orang muda, terutama dalam forum utama seperti ini, mereka ini dapat menyampaikan hasrat atau menceritakan apa yang sebenarnya berlaku kerana mereka yang lebih hampir dengan golongan muda.

BH: Arus perubahan memang telah nampak dan semakin ketara, tetapi dalam Umno, ramai pemimpin sedia ada kelihatan begitu sukar untuk melepaskan jawatan masing-masing. Mereka mendakwa masih mampu memberi sumbangan kepada parti.

AZIMI: Ini memang saya akui perkara yang sukar ditangani. Orang ini pun dulu ketika muda, dia mungkin pernah menimbulkan perkara yang sama, iaitu meminta orang lama ketika itu berundur untuk memberi peluang kepada golongan muda. Tetapi hari ini, apabila dia duduk di situ, dia tidak mahu beri peluang kepada orang muda pula.

Soal sumbangan, kita sudah melihat bukti bahawa ramai orang yang tidak pegang jawatan penting dalam parti, tetapi mereka boleh dilihat atau dianggap ‘hero’ atau pembela kepada nasib bangsa. Tidak semestinya dia mesti terus pegang jawatan penting dalam parti. Bagi saya, cakap-cakap seperti itu lebih kepada cakap-cakap yang mementingkan diri sendiri, bukan untuk kepentingan parti.

Dalam keadaan hari ini, saya melihat ada saingan atau cabaran pada peringkat bahagian. Sesetengah ketua bahagian yang juga pemimpin lama cuma hendak meyakinkan orang dengan cara mengatakan bahawa orang baru yang hendak mencabarnya kalau dibawa masuk, mungkin merosakkan Umno. Kata-kata ini sebenarnya adalah satu kata-kata bersifat untuk melindungi kelemahan diri sendiri. Sebenarnya, orang baru yang ingin mencabarnya itu dilihat sebagai golongan yang membahayakan kedudukannya sendiri. Cabar-mencabar dan pertandingan dalam bahagian adalah satu perkara yang telah berlaku lama daripada Umno dulu, tetapi mengapa hari ini golongan lama mengatakan tidak boleh ada pertandingan kerana Umno akan berpecah. Bukankah kita boleh bertanding dan cabar-mencabar, tetapi dalam satu keadaan yang sihat, terbuka dan dengan cara paling demokratik.

Macam saya sendiri, walaupun saya seorang Ketua Pemuda dan dilantik pula menjadi ahli MT, tetapi dengar-dengarnya saya juga akan dicabar. Bagaimanapun, saya tidak pula menganggap ini satu ancaman kepada parti. Saya rasa kalau ada orang hendak bertanding, biarlah diadakan dalam satu persaingan yang sihat. Jangan pula fitnah memfitnah, memburukkan orang lain. Baik orang lama atau orang baru, kalau pun hendak mengekalkan jawatan, cuba kita bercakap mengenai kebaikan dan perkara yang telah dilakukan kepada parti, bukannya memburuk-burukkan lawan.

Yang menjadikan masalah ialah kerana kita sendiri apabila ada kuasa dan takut kuasa itu hilang, maka kita bukan sekadar cuba mempengaruhi, bahkan sehingga menghasut orang supaya membenci orang yang mencabar kedudukan kita. Justeru, apabila ada satu pihak kalah dan satu pihak menang, maka fitnah dan pembohongan telah menguasai setiap kumpulan dan mereka tidak lagi boleh bersifat neutral kerana telah tersemai perasaan benci dan dendam yang menyukarkan mereka berbaik-baik semula.

BH: Jadi siapa yang patut memulakan perubahan secara sihat ini?

AZIMI: Saya rasa semua patut terbabit. Sudah lama kita cakap, tetapi sejak kebelakangan ini, keadaan ini semakin ketara. Sejak akhir-akhir ini, timbul tanggapan bahawa apabila masuk Umno, mesti jadi pemimpin kerana apabila ada kuasa, akan membentuk kekayaan. Maka, alasan ini yang menjadikan sesetengah golongan apabila hendak bertanding, dia menjadi terlalu ekstrim sampai sanggup membunuh karier orang lain.

Jadi, persoalan siapa yang patut mula, susah juga kerana kadang-kadang masalah membabitkan soal keyakinan, terutama dalam politik, kadangkala membuatkan kita sedikit terpesong. Contohnya, keyakinan kita kepada kuasa Tuhan. Kadang-kadang dalam kita tidak sedar dalam berpolitik ini, kadangkala agak goyah juga. Saya bagi contoh, selama ini ada pemimpin yang memang daripada kalangan orang baik, tidak pernah fitnah atau memburukkan orang, dia baik dengan semua orang. Tetapi satu hari ada orang hendak lawan dia, orang ini fitnah dan menyebarkan pembohongan terhadap beliau dan ada pula yang sengaja membesar-besarkan fitnah itu. Pemimpin itu sudah tentu berasa takut, masa itulah akan ada pemimpin yang baik mula hilang keyakinan dan mula percaya kebaikannya selama ini tidak mendatangkan sebarang faedah. Disebabkan perasaan takut itu, dia berasa kena ikut macam lawannya, kena lawan balik dengan fitnah dan pembohongan. Ini yang berlaku dalam keadaan hari ini.

Saya tertarik dengan satu pandangan yang disuarakan oleh Datuk Dusuki Ahmad, iaitu mungkin Umno boleh berpegang kepada konsep hasanah di dunia, hasanah di akhirat, iaitu kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat. Jadi, setiap ahli Umno mungkin boleh beringat bahawa apa saja khidmat kita kepada orang, walaupun dikecam dan dikritik, tetapi kita berserah kepada Allah. Jasa kita dan khidmat kita sekiranya ikhlas, tidak boleh dipertikaikan. Kalau kita boleh kekalkan kebaikan, ia juga akan beri kebaikan di akhirat. Oleh itu, pegangan saya ialah jangan main politik sampai seolah-olah kita lupa kepada agama.

BH: Mampukah orang muda bersaing dengan orang lama, yang kaya dengan pengalaman?

AZIMI: Kalau hendak bersaing dengan cara buat kerja, insya-Allah. Kita orang muda banyak tenaga. Dari segi buat kerja, saya yakin kita boleh atasi mereka. Tetapi dari segi perencanaan politik, kita kena akui kita kalah. Pengalaman dan perencanaan politik itu satu perkara yang susah diperoleh kerana kita kena melalui proses itu. Sebagai orang muda, kita belum lalui proses itu lagi. Kita belum lagi berasa suasana Umno ketika diharamkan, atau Umno kena berdepan dengan rusuhan kaum.

Jadi, yang penting ialah gandingan lama dan muda. Kesimpulannya ialah yang tua sewajarnya mempertimbangkan dan memberi laluan kepada yang muda, tetapi yang muda harus menerima tawaran ini dengan penuh tertib, dengan penuh rasa hormat, mereka kena tahu adab dan sopan santun, jangan memperlekehkan sumbangan golongan tua.

Ini kerana kita tahu apabila sampai masanya, kita kena ambil alih dan orang lama juga perlu sedar apabila sampai masanya mereka kena serahkan. Jangan kira faktor umur. Hakikatnya, kita kena ukur jumlah tahun perkhidmatan kita. Kalau sudah sampai 15-20 tahun, kita kena kaji semula kedudukan kita. Walaupun, rekod kita baik, kena juga bagi peluang untuk orang lain buat rekod yang baik.

BH: Kita kembali kepada Pemuda Umno. Tugas saudara sebagai Ketua Penerangan Pemuda banyak dikritik kerana dikatakan tidak dilaksanakan secara bersepadu.

AZIMI: Sebenarnya tugas sebagai Ketua Penerangan memang saya akui sedikit kelemahan kita, iaitu lambat bertindak. Contoh, isu penting kita lambat beri penjelasan, tetapi ini berbalik kepada komitmen ahli sendiri. Ini bukan kita hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma, kalau boleh kita cakap supaya kita dapat sama-sama dan cari jalan supaya yang buat kerja rasa seronok dan puas hati, yang hendak membabitkan diri dalam program juga senang hati.

Hari ini, kita pada peringkat pusat, malah negeri, memang banyak membuat program, tetapi sambutan ahli di bawah ada ketikanya begitu mengecewakan. Kita banyak belanja duit, masa dan tenaga, tetapi sambutan tidak menggalakkan. Seperti saya sebagai Ketua Penerangan dan ahli MT, saya sudah jelajah banyak kawasan di seluruh negara. Mungkin itu tidak dilihat sebagai penerangan, tetapi saya dijemput. Sejak saya dilantik hingga hari ini, saya sudah melawat kira-kira 40 bahagian. Saya lebih suka membabitkan diri dalam program yang nampak kecil, tetapi sungguh berkesan.

BH: Tetapi saudara bergerak secara solo, tidak membentuk satu pasukan penerangan yang mantap.

AZIMI: Saya setuju. Mungkin dari segi ini, kita kena memperbaiki kelemahan kita dari segi penyelarasan. Masalah dalam Umno selalu dibangkitkan dari segi penyelarasan kerana kadang-kadang kerja jadi bertindih, ada ketikanya saling harap mengharapkan. Kerja pun ada juga. Ingatkan (Ketua) Penerangan Malaysia nak buat, ingat Penerangan Pemuda hendak buat, ingat Penerangan Wanita hendak buat... tetapi akhirnya siapa pun tidak buat.

Tetapi, saya ingin beri jaminan bahawa Pemuda akan mula bergerak. Setakat ini kira-kira enam bulan, kita sudah mesyuarat dan buat program, tetapi kita kena akui juga sebagai pemimpin muda dan pemimpin biasa, kita juga ada sekatan tertentu. Tetapi, Pemuda telah kembali bergerak aktif, dimulai dengan program pada Syawal lalu, kita adakan rumah terbuka di seluruh negara.

Saya ingin beri jaminan bahawa kita akan mula manfaatkan kemahiran individu yang ada kebolehan. Selama ini kita hanya nampak orang dalam lingkungan kita saja. Sekarang momentum Pemuda semakin baik dan kita tidak mahu momentum ini mati, jadi kita mempunyai perancangan teliti yang diadakan di seluruh negara. Kita juga tidak mahu hanya babitkan ahli Umno, bahkan golongan muda lain. Kita akan mula secepat mungkin.

Bagaimanapun, kita ada sekatan tertentu. Kita memang cakap Umno sebagai parti besar, tetapi kadang-kadang untuk dapat peruntukan amat sukar. Umum memang melihat kita sebagai parti yang mewah, mereka melihat kita banyak duit, tetapi kita hendak buat program pun, sukar hendak mendapat peruntukan yang diperlukan.

BH: Pemuda kini tidak lagi dilihat sebagai satu kumpulan pendesak atau bertaring. Kedudukan ini jauh berbeza dengan peranan Pemuda Umno pada masa lalu.

AZIMI: Saya setuju, tetapi kita kena tengok isu yang ada. Pada masa dulu, kedudukan ekonomi dan taraf hidup kita memerlukan satu pihak yang boleh jadi perantara antara rakyat dan kerajaan. Pemuda Umno ketika itu menjadikan kedudukan mereka sebagai pentas terbaik untuk mereka dilihat sebagai pembela. Sedangkan hari ini, mungkin banyak kita boleh perjuangkan. Tapi secara umumnya, kalau kita hendak berjuang mengenai kemiskinan orang Melayu, sudah ada orang Melayu yang kaya-raya. Kalau cakap soal pendidikan, begitu ramai anak Melayu dapat doctorate (doktor falsafah) dan duduk pada pentas antarabangsa. Mungkin masih ada segelintir bangsa Melayu yang masih tertinggal dan ada masalah, jadi kita mempunyai ruang terbatas untuk mendesak.

Masalah yang timbul hari ini ialah pemimpin atasan pula melihat kita bukan sebagai kumpulan pendesak. Kalau kita bersuara, mereka akan melihat kita seperti cuba mengambil kesempatan atau mendapatkan kelebihan politik. Dan kalau kita silap cakap, akan ramai berkata kita ini seperti hendak mengajar itik berenang. Ini menyebabkan Pemuda dilihat sebagai kurang bermaya.

Tetapi, selepas terus dikritik, Pemuda hari ini bersetuju bahawa kita akan kembalikan imej sebagai suara pembela rakyat. Kita akan menjadi lidah penyambung bicara rakyat. Kalau boleh

kita sampaikan, kita akan sampaikan dan apa yang boleh kita tuntut, akan kita tuntut. Kita akan memberi pembelaan sewajarnya.

BH: Tetapi saudara semua buat kerja selepas teruk dikritik.

AZIMI: Anda mesti faham, ini yang disebut sebagai culture of contentment (budaya keselesaan). Ramai yang jadi pemimpin muda, bernasib baik dan cukup hebat berada di atas. Dia mahu orang menghormati dia, panggil dia ‘datuk’, tuan, begitu berbangga menjadi ahli Exco. Sedikit sebanyak saya terpaksa akui bahawa Umno pada suatu masa dulu dirasa cukup hebat, cukup gagah dan kita pula berasakan diri kita cukup besar sehingga menjadikan kita sedikit leka dengan status kita. Tetapi, ia adalah baik, biarlah masyarakat mengkritik kerana ia adalah untuk menyedarkan kita.

BH: Bercakap mengenai perpaduan Melayu, golongan muda, terutama mahasiswa, ramai yang menjadi penentang kerajaan. Saudara pernah menjadi pemimpin pelajar ketika di ITM dahulu. Jadi bagaimana saudara melihat kedudukan Umno untuk menarik perhatian pelajar yang sememangnya lebih condong ke arah parti pembangkang?

AZIMI: Apa yang kita lakukan kini ialah membuktikan kepada golongan mahasiswa yang kita juga akan membela nasib mereka. Contohnya, antara masalah di kalangan pelajar ialah soal tabung pendidikan dan kita hendak mendesak kerajaan supaya dapat menubuhkan tabung pendidikan bagi membantu mereka.

Tajuk paling utama ialah kemesraan dalam hubungan. Selama ini, pelajar IPT melihat pemimpin Umno sebagai orang yang ada kedudukan dan berpangkat. Jadi, mereka tidak pernah ada hubungan baik dengan pemimpin parti.

Bagaimanapun, pengalaman saya bila masuk jumpa mereka, walaupun pertama kali berjumpa, dengan senang hati mereka boleh terima kita. Soalnya ialah mengadakan face to face communication. Umno disebabkan ia parti pemerintah dan pemimpinnya sentiasa sibuk, agak sukar mencari masa untuk bertemu dengan pelajar. Berbeza dengan pemimpin pembangkang yang tidak kerja dan bebas untuk masuk berjumpa pelajar.

BH: Bagaimana saudara melihat masalah perpaduan Melayu hari ini?

AZIMI: Saya nampak cukup serius. Kerana itu, kita selalu dengar orang berkata generasi muda sudah tidak tahu menghargai kebebasan. Saya teringat kata-kata pujangga, kebebasan kemerdekaan ini tidak ada nilai pada diri seseorang sehinggalah kebebasan itu ditarik balik, baru dia dapat berasa betapa bernilainya kebebasan itu. Kita dilahirkan dalam keadaan bebas, merdeka. Generasi muda seperti saya yang lahir selepas merdeka, mungkin tidak begitu menghargai sentimen lama, terutama mengenai perjuangan nenek moyang, semangat kecintaan pada negara dan pemimpin tidak begitu dirasakan. Umno sudah begitu berkuasa, tidak perlu lagi menunjukkan kekuasaan. Dulu segala-gala perlu meminta recommendation Umno, tetapi sekarang sokongan Umno tidak begitu lagi diperlukan. Itu sebab rakyat berasa tidak perlu lagi menghormati Umno.

BH: Apa harapan saudara untuk membawa Umno, terutama Pemuda, keluar dari kemelut ini?

AZIMI: Pertama ialah saya berharap ahli Pergerakan Pemuda dapat mempertingkatkan komitmen kepada parti. Apa yang parti minta daripada mereka bukan duit ringgit, bukan harta benda, cuma pengorbanan dan perjuangan yang ikhlas. Kita tidak perlu berjuang seperti orang dulu, kita tidak perlu melakukan demonstrasi setiap hari, kita cuma minta ahli supaya memberi sedikit masa kepada parti.